Monday, 20 February 2012

SINUMUNDU

Pada zaman dahulu kala, ada sebuah perkampungan suku kaum Rungus yang diketuai oleh seorang ketua kampung. Ketua kampung itu disebut ‘Osukod’ dalam perkataan Rungus. Adapun Osukod kampung itu sangat bijak, gagah berani dan wajahnya sangat tampan. Oleh itu, tidak hairanlah kehidupan penduduk kampung aman damai kerana mempunyai seorang ketua sepertinya.
Osukod hanya mempunyai seorang anak perempuan bernama Sinumundu. Adapun Sinumundu mempunyai kebolehan yang luar biasa. Baru sahaja usianya mencecah tujuh tahun, Sinumundu sudah pun menguasai semua kemahiran termasuk menenun, mencucuk manik dan membuat kerja-kerja rumah yang lain. Sinumundu juga seorang yang sangat peramah dan rajin bekerja.
Selain itu, Sinumundu mempunyai rupa paras yang sangat cantik. Rambutnya ikal mayang, kulit bagai telur di kupas, pipi pauh dilayang, manakala apabila berjalan auranya dapat dilihat seperti kilat sambung menyambung menyertai rentak kakinya. Ini menyebabkan Sinumundu dipuja oleh ramai pemuda. Belum pun usianya meningkat remaja sudah ramai pemuda kampung yang ingin menyunting Sinumundu sebagai isteri. Tetapi masih belum ada yang berjaya memilikinya kerana Sinumundu masih kanak-kanak. Ada juga yang segan melihat kebolehan masing-masing yang tidak setanding dengan kebolehan yang dimiliki Sinumundu.
Setelah Sinumundu meningkat remaja,kampung mereka telah mengalami kemarau yang sangat panjang. Segala tanaman dan haiwan ternakan mereka habis mati kerana kehabisan air. Manakala penduduk kampung kehabisan sumber makanan dan minuman. Mujurlah pada tahun pertama hingga tahun ketiga masih ada penduduk kampung yang menjual makanannya kepada orang lain yang kehabisan makanan. Tetapi setelah empat tahun hingga ke tujuh tahun hujan masih tidak turun, tidak ada lagi yang sanggup menjual makanannya kepada orang lain. Masing-masing mencari makanan di hutan sehingga ada yang sanggup menggali tanah untuk mencari ubi untuk dijadikan makanan.
Pada suatu malam, ketika penduduk mengalami kesusahan yang sangat getir. Osukod telah bermimpi bertemu dengan seorang tua yang ganjil. Mukanya bercahaya dan berjanggut tembaga. Osukod melihat orang tua itu berjalan mendekatinya tetapi kaki orang tua itu tidak berpijak di tanah. Kemudian, orang tua itu berkata kepadanya, "Kemarau panjang yang menimpa kampung ini akan tamat hanya melalui satu cara sahaja iaitu membuat korban." Jawab Osukod dalam mimpinya, "Bagaimana kami membuat korban jika kesemua haiwan ternakan kami sudah mati?" Tetapi orang tua itu berkata, "Anak perempuan tunggalmu itu sebagai ganti. Tubuhnya harus di potong kecil kemudian akan ditabur di ladang." Setelah berkata demikian, orang tua itu pun ghaib.
Pada keesokkan harinya, Osukod pun bangun dan teringat akan mimpinya. Pada mulanya dia tidak mempercayai apa yang dikatakan oleh orang tua dalam mimpinya. Tetapi hari demi hari penduduk kampung semakin berkurang kerana ada sahaja kematian akibat kemarau panjang. Osukod pun mula percaya akan mimpinya. Namun jika dia mahu mengikuti seperti yang dikatakan oleh orang tua dalam mimpinya sudah tentu anak perempuan kesayangannya itu akan menjadi korban bagi menamatkan bencana itu. Osukod tidak sanggup mengorbankan anaknya yang tunggal itu kerana tidak sanggup membunuh. Sedangkan binatang tidak sanggup dibunuhnya ini kan pula anaknya yang amat disayanginya.
Walaupun begitu Osukod tidak menceritakan mimpinya kepada sesiapapun melainkan isterinya. Tetapi setelah mendengar ceritanya, isteri Osukod sangat marah kerana tidak sanggup mengorbankan anaknya. Lagipun Sinumundu adalah seorang anak yang mempunyai pekerti mulia. Isteri Osukod berkata, "Biarlah yang berkuasa menentukannya. Jika kita mati kelaparan, biarlah kita harungi bersama-sama." Mendengar jawapan isterinya itu, Osukod pun melupakan apa yang dimimpinya.
Manakala Sinumundu dapat merasakan ada sesuatu yang terbuku di hati orang tuannya. Dia sangat hairan kerana saban hari ayahnya kelihatan sangat sugul. Tidak mahu menjamah makanan dan air matanya sentiasa mengalir. Lama-kelamaan, Sinumundu sudah tidak tahan lalu mendekati ayahnya. "Ayah, bolehkah saya tahu apa yang menyebabkanmu susah hati?” kata Sinumundu kepada ayahnya. Tetapi Osukod tidak menjawab pertanyaan anaknya. Sinumundu tidak berputus asa lalu mengulangi pertanyaanya sehingga ayahnya menceritakan perkara sebenar kepadanya.
Setelah habis mendengar cerita dari ayahnya, Sinumundu pun berkata, "Saya rela menjadi korban demi menyelamatkan bangsa kita dari bencana ini." Osukod menangis tersedu-sedu kerana sangat terharu mendengar kata-kata dari anaknya.
Maka pada suatu hari ketika ibunya tidak ada di rumah. Sinumundu telah mengikuti ayahnya ke ladang. Setelah tibadi situ, Sinumundu memakai pakaian tradisi suku kaum Rungus. Kemudian memakan isi ubi kerana menurutnya, "Semoga ibu dapat menerima keputusanku dan memaafkanku."
Setelah siap menjamah makanannya, Sinumundu pun duduk di sebatang pokok tumbang di tengah-tengah ladang lalu berkata, "Ayah, saya sudah sedia untuk dikorbankan. Saya berpesan kepadamu,apabila saya sudah tidak ada nanti dan kemarau sudah tamat, buatlah kenduri kesyukuran pada musim menuai nanti sebagai tanda peringatan kamu kepadaku." Kemudian Sinumundu menahan nafasnya dan ayanya pun memulakan upacara korban dengan menyembelih Sinumundu. Sebaik sahaja darah Sinumundu mengalir ke tanah, hujan pun turun dengan lebatnya. Tubuhnya dikerat-kerat kemudian ditabur ke tanah menjadi benih-benih jagung dan timun. Benih-benih itu tumbuh dengan sekelip mata.
Pada waktu petang, barulah Osukod selesai, dia pun pulang ke rumahnya. Dari jauh Osukod dapat mendengar sorakan dari penduduk kampung yang gembira kerana kemarau sudah tamat dan mereka dapat membina kehidupan baru. Ketika Osukod sampai di ruangan biliknya di rumah panjang. Kaum ibu sedang meratapi isterinya yang tidak bermaya kerana terlalu sedih dengan kematian Sinumundu. Dia yang sebelum ini mengetahui punca segalanya tidak dapat menerima hakikat Simumundu telah berkorban demi kehidupan manusia.
Sejak hari Sinumundu dikorbankan, sehingga tujuh hari tujuh malam hujan barulah hujan berhenti. Penduduk kampung pun pergilah ke ladang masing-masing. Mereka mendapati padi sudah masak dan sedia untuk dituai. Begitu juga tanaman mereka yang lain seperti jagung dan timun. Jadi dapatlah mereka membina kehidupan baru kerana sudah ada sumber makanan yang mencukupi.
Setelah padi sudah habis dituai,Osukod pun mengajak penduduk kampung membuat kenduri kesyukuran bagi memperingati pengorbanan Sinumundu.
Sejak itu setiap kali tiba musim menuai, sudah menjadi kebiasaan penduduk kampung untuk mengadakan kenduri kesyukuran bagi memperingati pengorbanan Sinumundu. Malah sehingga hari ini kenduri kesyukuran atau lebih dikenali pesta menuai masih diadakan setiap tahun oleh masyarakat Rungus.
Begitulah berakhirnya cerita dongeng Sinumundu dan asal mulanya pesta menuai suku kaum Rungus. Tujuan pesta kaamatan diadakan adalah untuk memperingati kematian Sinumundu berkorban demi bangsa Rungus.